
DARIPADA RASA INGIN TAHU, ‘YB SEM’ BERJAYA PUASA LEBIH 20 HARI
MACHAP JAYA 22 Mac — Tanpa latar belakang agama Islam, beliau memilih untuk bangun sahur, menahan lapar dan dahaga, bukan kerana kewajipan tetapi kerana ingin merasai sendiri erti sebenar Ramadan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem tampil dengan satu usaha yang cukup luar biasa iaitu bangun awal pagi untuk bersahur malah berkongsi rutin hariannya itu secara langsung di Facebook rasminya.
Sebagai seorang berbangsa Cina, beliau mengakui pada awalnya hanya ingin memahami bagaimana rasanya menahan lapar dan dahaga seperti umat Islam, namun perjalanan itu akhirnya membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar pengalaman fizikal.
“Saya nak tahu bagaimana orang Melayu rasa bila berpuasa dan setiap tahun, saya selalu dijemput menghadiri majlis berbuka puasa jadi apa salahnya jika teruskan berpuasa supaya saya dapat nikmat berbuka puasa itu.
“Tahun ini sudah masuk tahun ketiga saya berpuasa. Dulu mula beberapa hari sahaja, kemudian tahun lepas berpuasa selama 14 hari dan tahun ini saya cuba konsisten walaupun ada hari yang terpaksa ditolak kerana sambutan Tahun Baru Cina pada awal Ramadan lalu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini baru-baru ini.
Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, di sebalik rutin itu beliau mengakui cabaran terbesar bukan pada lapar atau dahaga, tetapi kekuatan diri untuk kekal berdisiplin.
Menurutnya, faktor kesihatan turut menjadi pendorong selepas dinasihatkan oleh seorang pakar bahawa amalan berpuasa secara konsisten mampu membantu mengawal paras gula dan meningkatkan kesihatan.
Namun, satu pengalaman benar-benar menguji dirinya apabila beliau membawa rakan-rakan makan tengah hari, tetapi hanya memerhati tanpa menyentuh makanan atau minuman.
“Saya belanja mereka makan di sebuah restoran kegemaran saya jadi disebabkan saya berpuasa, saya tengok saja mereka makan… itu cabarannya… semangat kena kuat,” katanya.
Pengalaman itu, katanya, bukan sahaja mengajar erti disiplin, malah kesabaran yang tinggi dalam mengawal diri.
Kisah beliau mencerminkan semangat perpaduan yang tulus apabila usaha memahami amalan masyarakat lain dilakukan dengan penuh hormat dan keikhlasan.
Dalam kepelbagaian masyarakat, langkah kecil seperti ini membuktikan bahawa empati dan kefahaman mampu merapatkan jurang, sekali gus memperkukuh keharmonian antara kaum.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


