
DASAR MELAKA RANCAKKAN PELUANG PEKERJAAN BAWA IMPAK KEPADA BELIA
DUYONG 18 Mei – Keberkesanan dasar Kerajaan Negeri Melaka dalam merancakkan peluang pekerjaan buat golongan belia ternyata memberi impak positif, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ab Rauf berkata, perkara itu terbukti apabila kadar pengangguran Melaka bagi suku keempat 2024 telah menurun kepada 1.8 peratus berbanding 2.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, dengan lebih 200,000 belia di Melaka, Kerajaan Negeri tidak hanya menganggapnya sebagai angka semata-mata, sebaliknya mereka merupakan aset paling berharga yang bakal mencorakkan wajah negeri ini pada masa hadapan.
Justeru, katanya, bagi memastikan belia terus mendapat manfaat, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan merangkumi kebolehpasaran kerja, keusahawanan, pendidikan, pembangunan sahsiah, sosial dan nilai keagamaan.
“Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada pemerkasaan anak muda berkemahiran tinggi melalui pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Usaha ini bukan sahaja untuk memenuhi kehendak industri, tetapi untuk meletakkan Melaka sebagai Pusat TVET Negara. Kita mahu anak Melaka bukan sahaja mampu bersaing, tetapi menjadi pilihan utama industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Belia Negara 2025 Peringkat Negeri Melaka di Taman Rekreasi Bukit Serindit, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalan Exco Sains, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, dasar Kerajaan Negeri adalah cerminan iltizam bahawa kerajaan bukan sekadar melihat belia sebagai penyokong dasar, tetapi rakan strategik dan peneraju pembangunan negeri.
Jelasnya, bagi membantu golongan belia Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Skim Rumah Belia Melaka (RBM), iaitu skim perumahan belia pertama seumpamanya di Malaysia dengan penyediaan 1,754 unit rumah bagi membantu belia memiliki kediaman pertama.
“Selain itu, dalam memastikan suara belia terus didengari, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Ahli Dewan Undangan Negeri Belia melibatkan 33 wakil dari setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai platform latihan kepimpinan dan penglibatan dasar peringkat akar umbi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.