Sorting by

×

‘DATA BANK’ REKOD KEPERLUAN LOKALITI UNTUK DIBAWA KE WRUR

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

LENDU 31 Mei- Keperluan lokaliti setempat yang direkodkan Kerajaan Negeri menerusi bank maklumat (data bank) menjadi fokus dan rujukan utama pada setiap penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebelum penganjuran WRUR di sesebuah DUN, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan terlebih dahulu menyalurkan laporan membabitkan keperluan di kawasan tersebut untuk diperhalusi.

“Penganjuran WRUR untuk siri seterusnya di DUN Bemban pastinya sama kerana Kita akan mengikut keperluan lokaliti. Misalnya di Lendu terdapat banyak kawasan banjir mungkin di sana (Bemban) mungkin ada hakisan tanah, kejadian pokok tumbang atau masalah lain.

“Jadi kita akan menerima lebih awal laporan-laporan daripada pengerusi JPKK yang menyalurkan permasalahan kepada ‘data bank’.

“Data bank ini nanti akan menilai semula untuk kita membuat ‘data matching’ atau pemadanan maklumat dengan janji manifesto yang lepas sebelum WRUR memulakan langkah dari satu DUN ke Dun lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Lendu yang berlangsung di Japerun Lendu, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Ab Rauf, format penganjuran setiap WRUR ditetapkan adalah sama yang bertujuan menyantuni dan mendengar setiap denyut nadi serta naluri rakyat .

“Menerusi WRUR ini rakyat berpeluang menyuarakan apa juga keperluan yang boleh dibantu oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama oleh jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Program ini menunjukkan bahawa prihatinnya Kerajaan Negeri dalam merakyatkan pentadbiran supaya rakyat dapat menikmati dan menyelusuri peranan yang dimainkan oleh setiap jabatan kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Jelasnya, keberhasilan program WRUR pastinya membuatkan rakyat lebih yakin dengan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

587
Kongsi :
Previous post ISU JALAN RAYA, SALIRAN FOKUS UTAMA WRUR DUN LENDU
Next post WRUR DUN LENDU BAWA PELBAGAI INISIATIF, RAKYAT TERIMA MANFAAT