
DATANG MELAKA WAJIB NAIK MENARA TAMING SARI -PENGUNJUNG
BANDA HILIR 2 Jun – Produk pelancongan ikonik, Menara Taming Sari terus menjadi destinasi pilihan pengunjung dari dalam dan luar negeri sempena cuti persekolahan.
Tinjauan Melaka Hari Ini di perkarangan Menara Taming Sari mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menikmati pemandangan mata burung dari menara itu meskipun cuaca sangat terik.
Menurut pengunjung, Muhd Fadzil Harun, 34, dari Pulau Pinang berkata Menara Taming Sari merupakan lokasi wajib dilawati meskipun sudah sering dah berpuluh kali mencubanya.
Muhd Fadzil, bersama adik-beradik dan ipar memilih Melaka sebagai destinasi ‘healing’ apabila setiap kali tibanya cuti persekolahan.
“Kami berada di sini sejak Sabtu, Melaka boleh saya ibaratkan sebagai destinasi percutian yang sempoi, kerana banyak lokasi tarikan terutamanya Menara Taming Sari.
“Kalau datang ke Melaka tidak naik menara ini memang rugi, umpama tidak lengkap jika tidak menaiki dek melihat pemandangan Melaka,” katanya ketika ditemui di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, hari ini.
Nada sama turut disuarakan pengunjung dari Ipoh, Perak, Ridzuan Mohd Silam, 40, menyifatkan Melaka sebagai negeri mesra percutian bersama keluarga.
“Melaka dan Menara Taming Sari ini memang datang dengan pakej, saya sudah menaiki menara ini banyak kali namun ini pertama kali datang bersama isteri dan tiga orang anak kami.
“Pengalaman yang sekejap ini sangat berharga, momen bersama keluarga dapat diabadikan apabila kami sempat bergambar sebelum menaiki Menara Taming Sari dan anak-anak juga gembira,” katanya.
Manakala, menurut pengunjung dari Kota Tinggi, Johor, Noraziera Abdul Razak, 28, berkata dia bersama dua rakannya hanya singgah ke Melaka untuk menikmati suasana bercuti dan pertama kali menaiki Menara Taming Sari.
Jelasnya, pengalaman kali pertama itu memang agak teruja dan berjanji akan menaiki lagi sekali menara tersebut pada waktu malam pada masa akan datang.
“Saya pasti akan naik lagi menara ini di masa akan datang, tapi suasana malam pula, rakan-rakan sudah biasa naik menara ini dan saya pula baru merasa, memang tinggi dan pemandangannya indah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.