Sorting by

×

DATARAN MASJID AL-AZIM LOKASI LIHAT GERHANA BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT PALAH 5 September – Penduduk Melaka berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang dijangka berlaku pada 8 September ini, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Menurut beliau, sebagai cara menghayati dan memahami fenomena alam itu , Kerajaan Negeri melalui Jabatan Mufti Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), akan mengadakan Cerapan Gerhana Bulan Penuh di Dataran Masjid Al-Azim.

“Pelbagai pengisian akan dilaksanakan pada hari berkenaan, seperti solat sunat gerhana bulan, khutbah berkaitan fenomena dan juga cerapan yang mana gerhana penuh dijangka dapat dilihat pada 1.30 pagi Isnin.

“Malah komuniti falak akan membantu dan menerangkan secara terperinci berkaitan gerhana selain melakukan cerapan diketuai Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

“Untuk kali ini, Masjid Al-Azim pula dipilih sebagai lokasi untuk cerapan bulan gerhana berdasarkan lokasinya yang strategik untuk menyaksikan fenomena yang jarang berlaku ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025M yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan hadir sama Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin bersama barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, penganjuran itu dijangka menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, khususnya generasi muda yang teruja untuk menyaksikan fenomena alam sambil kebesaran dan keagungan Allah SWT.

“Orang ramai dijemput untuk hadir bagi menyaksikan kebesaran serta keagungan Allah SWT dalam mengatur perjalanan setiap isi kandung alam semesta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post MELAKA KOMITED KUKUH SYIAR ISLAM
Next post DUA KANAK-KANAK LEMAS: LELAKI, TEMAN WANITA DIREMAN SEMINGGU