Sorting by

×

DATARAN ORANG KAMPUNG DIBANJIRI ‘LAUTAN MANUSIA’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MERLIMAU 5 April – Memasuki tahun keempat penganjuran, Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau terus mendapat sambutan apabila hampir puluhan ribu pengunjung membanjiri Dataran Orang Kampung, di sini, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kehadiran tetamu luar jangka itu bukan sahaja membabitkan warga Merlimau dan rakyat Melaka, bahkan turut hadir pengunjung yang datang dari Terengganu dan Perlis.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir meluangkan masa untuk memeriahkan sambutan rumah terbuka ini. Saya boleh katakan sambutan diluar jangkaan.

“Difahamkan setakat jam 8.45 malam kehadiran sudah mencecah kira-kira 15,000 orang dan jumlah itu akan terus meningkat kepada puluhan ribu orang,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Terdahulu, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman dan turut bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, lebih 20 juadah disediakan untuk dijamu kepada tetamu yang datang.

“Pastinya pelbagai hidangan bukan sahaja juadah hari raya seperti sate dan rendang tetapi turut disediakan untuk tetamu menjamu selera adalah nasi lemak, roti canai, mi goreng, cekodok dan nasi ayam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

736
Kongsi :
Previous post NABILA RAZALI GAMATKAN RAYA DI TELOK MAS