
DECATHLON PERKUKUH MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN SUKAN
PENGKALAN BATU 30 Mei – Pembukaan cawangan ke-24 Decathlon di Peringgit, di sini, secara tidak langsung memperkukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan sukan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dalam usaha memperkukuh imej Melaka sebagai hab pelancongan sukan, Decathlon akan memainkan peranan penting dengan menyediakan barangan sukan berkualiti tinggi pada harga mampu milik untuk penduduk tempatan dan pelancong.
“Ini bukan sekadar pelancaran sebuah kedai, tetapi juga merupakan satu sambutan penting dalam landskap ekonomi dan sosial Melaka.
“Rakyat Melaka telah lama menantikan saat ini, kerana kita tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur semata-mata untuk membeli-belah di Decathlon. Produk terbaik dalam dunia sukan dan rekreasi sudah boleh didapati di negeri kita sendiri.
“Saya juga berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Decathlon Melaka telah mewujudkan lebih 40 hingga 50 peluang pekerjaan untuk komuniti setempat; satu sumbangan yang amat kami hargai dalam usaha membina ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif. Terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi Decathlon,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook Rasmi beliau.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam, Datuk Bandar Majlis Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman, Pengarah Urusan Kerjaya Kencana Sdn Bhd Datuk Gary Yap dan Ketua Pegawai Eksekutif Decathlon Malaysia, Jiao Li.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.