
‘DEMI PAYA RUMPUT’ BAWA LIMPAHAN BUAT 91,000 PENDUDUK 42 TAMAN, 12 KAMPUNG
PAYA RUMPUT 8 Februari – Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung selama lapan hari hingga 15 Februari depan bakal membawa manfaat besar kepada 91,000 penduduk di kawasan berkenaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput merupakan kawasan dengan bilangan penduduk terbesar iaitu berjumlah 91,000 orang dan bilangan pengundi seramai 45,000.membabitkan masyarakat berbilang kaum.
Jelas beliau, ia merangkumi 42 buah taman perumahan, 11 kampung warisan dan satu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB).
Justeru, beliau berkata, penganjuran program melibatkan rakyat seperti karnival itu amat perlu dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan keharmonian, selain menjadi jambatan mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.
“Di Paya Rumput ini, komposisi kaum adalah pelbagai, di mana lebih 60 peratus daripadanya merupakan masyarakat Melayu, kira-kira 30 peratus kaum Cina dan sekitar 4 hingga 5 peratus kaum India.
“Jadi, saya mahu karnival ini menjadi usaha dalam kita menjaga dan menjadikan DUN Paya Rumput ini sebagai ‘rumah’ kita bersama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Demi Paya Rumput dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bilangan 1 Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Taman Rambai Jaya, di sini, hari ini.
Perasmian karnival berkenaan telah disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan selaku wakil rasmi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, Karnival Demi Paya Rumput juga boleh dianggap sebagai pra program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dijadual berlangsung pada September depan.
Menurut beliau, oleh sebab jadual pelaksanaan WRUR DUN Paya Rumput masih jauh, pihaknya bersama pemimpin masyarakat mengambil keputusan untuk menganjurkan karnival berkenaan yang turut diisi dengan pelbagai program santunan rakyat.
“Sebab itulah kita bawakan karnival ini supaya ‘vibe’ WRUR dapat dirasai lebih awal. Menerusi karnival ini kita juga membawakan Hari Aduan Rakyat sama seperti WRUR bagi membolehkan rakyat menyalurkan segala aduan untuk diselesaikan secara tuntas dan berkesan,” katanya.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


