
‘DEMI PAYA RUMPUT’ DITERIMA RAKYAT
PAYA RUMPUT 14 Februari – Sambutan luar biasa masyarakat terhadap Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung selama lapan hari membuktikan pendekatan turun padang terus mendapat tempat di hati rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, suasana karnival julung kali diadakan dan disifatkan sebagai mini Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) itu mengimbau sokongan masyarakat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kira-kira empat tahun lalu.
Menzahirkan rasa terujanya, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memaklumkan beliau menerima dan merasai sokongan positif penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
“Saya rasa sangat teruja melihat penerimaan rakyat tanpa mengira latar belakang politik termasuk pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
“Di mana-mana saya turun, Alhamdulillah, ramai penduduk, masyarakat, tempatan. Saya rasa rakyat berada dalam keadaan baik dan menyambut positif segala inisiatif yang dibawa Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Paya Rumput Berselawat dan Ceramah Perdana bersempena Karnival Demi Paya Rumput di Perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.
Menurut Rais, walaupun berlangsung seminggu namun maklum balas yang diterima menyifatkan ia masih belum mencukupi dan berharap lebih banyak program seumpamanya diadakan bagi mengeratkan hubungan pemimpin dengan rakyat di peringkat akar umbi.
“Namun saya harus berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pada Karnival Demi Paya Rumput ini termasuk semua agensi dan jabatan kerajaan yang melancarkan lagi karnival ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


