
DENDAM, TEKANAN PERASAAN PUNCA PELAJAR TINGKATAN 5 TIKAM IBU, ABANG HINGGA MATI
AYER KEROH 12 Jun – Tekanan perasaan dan dendam lama dipercayai menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Lima menikam ibu serta abang sulungnya hingga maut, sebelum mencederakan adik bongsunya dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa wanita berusia 51 tahun yang juga seorang guru di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), manakala anak sulungnya berusia 21 tahun merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Melaka ditemui maut akibat beberapa tikaman.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, berdasarkan siasatan awal, ibu suspek sering menegur dan memarahi remaja itu supaya belajar lebih tekun memandangkan dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Tekanan berpanjangan itu dipercayai mendorong suspek bertindak di luar kawalan dan menyerang ibunya dengan beberapa tikaman sebelum dihalang oleh abangnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, hari ini.
Katanya, siasatan mendapati suspek berusia 17 tahun itu disyaki membeli pisau lipat sepanjang kira-kira 20 sentimeter dan menyimpannya di dalam beg sekolah sebelum bertindak menyerang ibunya yang sedang tidur.
“Semasa abangnya cuba menghalang, mangsa turut terkena tikaman dan kedua-duanya ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati ibu suspek mengalami kesan tikaman di leher, pinggang dan belakang, manakala abangnya turut mengalami kecederaan parah akibat beberapa tikaman.
Suspek kemudian mengarahkan adik lelakinya berusia 13 tahun keluar dari rumah, namun apabila adik itu enggan, suspek menikamnya beberapa kali. Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka dan dilaporkan stabil.
Dzulkhairi berkata, pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui semula di dalam beg sekolah suspek yang diletakkan di luar rumah bersama kesan darah manakala pakaian berlumuran darah pula dijumpai di dalam tong sampah berhampiran.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kediaman itu mengesahkan tiada pencerobohan dari pihak luar dan suspek telah ditahan.
“Permohonan reman akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.