Sorting by

×

DEWAN BAHARU BERI MANFAAT KEPADA LEBIH 400 PENDUDUK KAMPUNG PULAU

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Januari –  Pembinaan Dewan Terbuka Kampung Pulau yang sudah siap dilaksanakan wajar dijadikan model rintis kepada pembangunan ruang komuniti desa yang berfungsi sebagai pusat aktiviti sosial, belia dan pemindahan ilmu bersama universiti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemudahan ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 400 penduduk Kampung Pulau, termasuk belia, warga emas dan persatuan setempat, dengan potensi menganjurkan puluhan program komuniti setiap tahun.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, di peringkat Kerajaan Negeri, setiap dasar dan inisiatif yang digubal berpaksikan satu matlamat iaitu rakyat mesti didahulukan dalam setiap agenda pembangunan.

“Semangat inilah yang mendasari agenda Melaka Sayang Rakyat, Demi Rakyat, Untuk Rakyat’ seperti mana yang saya nyatakan di dalam pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 yang lalu. Usaha inilah yang menjadi teras pentadbiran negeri dalam memastikan nikmat pembangunan dirasai secara saksama oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Berpegang teguh kepada prinsip tersebut, Kerajaan Negeri terus mengorak langkah memperkukuh pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang membawa manfaat langsung kepada rakyat hingga ke
akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dewan Terbuka Kampung Pulau Di Bawah Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa) UTEM,  Prof Dr. Mohd Rizal Salleh; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifudin Abdul Karim, Ketua-ketua Jabatan Negeri serta Persekutuan.

Yang turut hadir adalah mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Menurutnya dalam usaha memperkasakan komuniti Desa dan rakyat Melaka, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Kampung Digital, e-mel Rakyat, konvensyen khas pedidikan, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Karnival Kampung Kita.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post IPT RAKAN STRATEGIK JAYAKAN AGENDA PEMBANGUNAN KOMUNITI
Next post 16 ANAK YATIM DUN DUYONG TERIMA SUMBANGAN PERSEDIAAN SEKOLAH