Sorting by

×

DEWAN BELIA MELAKA BAHAS USUL TVET, RUMAH MAMPU MILIK UNTUK ANAK MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan belia antara usul yang dibahaskan pada Persidangan Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Melaka, hari ini.

Hari kedua persidangan dimulakan dengan sesi angkat sumpah Timbalan Speaker Dewan Belia iaitu Ahli Dewan Belia N.12 Pantai Kundur, Muhammad Shafiq Ab Majid.

Ia kemudiannya disusuli pembentangan usul oleh Ahli Dewan Belia yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing mengikut kluster atau portfolio Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Muhammad Shafiq, menerusi persidangan itu, ia memberi ruang untuk golongan belia bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam menyatakan pandangan serta melontarkan idea.

“Mewakili belia Negeri Melaka saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana merealisasikannya dan ia sudah tentu memberi nilai tambah serta manfaat kepada golongan belia yang telah dipilih mewakili DUN.

“Persidangan ini juga sangat baik apabila kami semua telah disusun mengikut kluster-kluster Exco dalam Kerajaan Negeri, di mana kami dapat berbahas serta mencadangkan usul dalam konteks portfolio Exco sekali gus dapat membawa suara orang muda,” katanya.

Beliau ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Persidangan Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Melaka, di Dewan Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), hari ini.

Img 20250812 wa0013
MUHAMMAD Shafiq mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Belia Negeri Melaka.

Menurut Muhammad Shafiq, meskipun julung kali diadakan, persidangan yang dikendalikan Speaker Dewan Belia Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar, berjalan dengan lancar dengan pembawa usul dan pembahas dapat berbahas dengan berhemah.

“Setakat ini semua pembawa usul dan pembahas melakukan dengan tenang, berhemah dan mengikut peraturan. Ini penting kerana sebagai Ahli Dewan Belia, kami adalah contoh kepada belia di luar sana.

“Persidangan akan bersambung dan berakhir esok yang mana akan ada sesi ucapan penangguhan daripada setiap wakil Parlimen dan juga penggulungan daripada Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam,” katanya.

Mengulas pelantikan sebagai Timbalan Speaker Dewan Belia, Muhammad Shafiq menyifatkannya sebagai bukan satu keistimewaan, sebaliknya tanggungjawab dan amanah yang perlu dilakukan dengan sebaiknya bagi memastikan persidangan yang berlangsung berjalan lancar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post PDK SERI EMAS DIBUKA, MELAKA KINI MILIKI 18 PUSAT PEMULIHAN OKU
Next post MAIM AGIH RM81 JUTA UNTUK ASNAF JANUARI-JUN TAHUN INI