Sorting by

×

DIDIK MURID MENGENAI HAK KANAK-KANAK, TALIAN 15999

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

REMBIA 5 Ogos – Kepentingan dan fungsi talian 15999 antara fokus utama sepanjang Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.

Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, advokasi itu bertujuan memberikan pendedahan dan meningkatkan lagi pengetahuan kanak-kanak berhubung apa perlu dilakukan ketika dalam situasi cemas.

“Hasil penerangan, kanak-kanak ini akan lebih tahu mengenai apa perlu dilakukan dan siapa mahu dihubungi jika berada dalam masalah. Selain itu kanak-kanak juga diberikan penerangan berhubung empat hak utama mereka dan sekiranya tidak diberikan atau dijaga kanak-kanak mempunyai hak untuk menyuarakan atau meminta bantuan daripada orang dewasa.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka sebanyak 545 kes yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 direkodkan sepanjang 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak bersempena program WRUR DUN Rembia di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Gajah I, di sini, semalam.

Program melibatkan 170 murid sekolah sekitar DUN Rembia itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Halyjah Muhamad.

Fairul Nizam berkata, program WRUR yang merupakan platform menyeluruh bagi penyampaian maklumat, bantuan serta perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

“Pendekatan turun padang ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat tetapi mencerminkan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

576
Kongsi :
Previous post HEBAT: RAKYAT MELAKA PUJI INISIATIF KERAJAAN NEGERI TURUN PADANG
Next post DERITA IBU HIDAP KANSER CETUS KEJAYAAN MUHAMMAD AZRUL