
DIGITAL CREATOR MASTERCLASS MHI MAMPU LAHIRKAN PEMPENGARUH, PENCIPTA KANDUNGAN
SUNGAI UDANG 28 Mei – Inisiatif Melaka Hari Ini (MHI) dengan kerjasama Melaka ICT Holdings (MICTH) berkongsi kepakaran menerusi Digital Creator Masterclass (DCM) disifatkan sebagai program berimpak tinggi seiring keperluan dunia media sosial masa kini.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, DCM yang dibawakan khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) itu dapat menerapkan mesej kepada masyarakat mengenai kepentingan menguasai bidang digital.
Mohd Noor Helmy berkata, penguasaan ilmu digital menerusi DCM adalah penting buat pelbagai golongan masyarakat misalnya pemimpin, usahawan, rakan kongsi pemasaran (affiliator) dan ramai lagi.
“Rugi kalau peserta tak ambil peluang ini kerana kursus asas begini sangat mahal di luar sana tetapi MHI turun padang memberikannya secara percuma.
“Sosial media seperti TikTok sangat penting bahkan untuk saya sendiri membina pengikut bermula tahun 2022 lagi bukanlah mudah. Banyak teknik mencipta ‘content’ yang kami gunakan.
“Saya nasihatkan agar gunakan ilmu ini sebaiknya kerana sekarang ini menjadi pempengaruh di sosial media pun boleh mendapat pendapatan lumayan dengan menjadikannya kerjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian DCM sempena WRUR DUN Sungai Udang, baru-baru ini yang turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Cawangan Sungai Udang, Datin Ernie Aidilia Karim mewakili Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin.
DCM yang dibawakan khas sempena WRUR bakal menjelajah ke 28 DUN negeri ini berkongsi kepakaran digital iaitu fotografi, rekaan grafik, komunikasi berkesan depan kamera dan penghasilan video.
Ia membariskan tenaga pengajar berkaliber seperti Iqmal Haqim Rosman (fotografi), Akmal Noorli (reka grafik), Faris Haikal Zakaria (komunikasi berkesan depan kamera) dan Aufa ‘Izzati (penghasilan video).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.