Sorting by

×

‘DONAT PIZA’ PIKAT PENGUNJUNG CILIK BAZAR RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KESIDANG 7 Mac – Idea menghasilkan donat piza sebagai pencuci mulut ketika waktu berbuka puasa khusus untuk kanak-kanak membuahkan hasil apabila menu yang dijual Norhaliza Mahat di Bazar Ramadan Taman Melaka Baru mendapat sambutan.

Menurut Norhaliza, 42, idea untuk menjual donat itu tercetus apabila dia mendapati kebanyakan bazar Ramadan hanya menjual juadah kegemaran orang dewasa, sebaliknya menu untuk kanak-kanak agak terhad.

Justeru itu, dia yang pertama kali mencuba nasib berniaga di bazar Ramadan mengetengahkan menu donat kerana pastri tersebut amat digemari si cilik.

“Untuk memberi kelainan pada donat yang selalunya berbentuk bulat saya tampil dengan doh berbentuk piza dan ditambah dengan hiasan warna-warni bagi menampakkan ia lebih menarik.

“Selalu apabila ke bazar Ramadan, biasanya juadah yang banyak dijual adalah seperti martabak, roti john, ayam percik dan kuih-muih.

“Apabila ada menu donat ini sekurang-kurangnya kanak-kanak ada pilihan selain ada juga peminat dalam kalangan dewasa,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurut ibu kepada dua anak itu, dia tidak menyangka percubaannya menjual pencuci mulut tersebut mendapat sambutan sekali gus dapat membantu menambah pendapatan keluarga.

“Selalunya setiap hari saya akan menyediakan 100 biji donat dengan empat pilihan antaranya tiramisu, coklat dan strawberi yang kebiasaan menjadi kesukaan ramai,” katanya.

Jelasnya, menu jualannya itu juga termasuk dalam senarai Menu Rahmah Madani apabila menawarkan harga di bawah RM5.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

156
Kongsi :
Previous post KASIH MPHTJ SENTUH HATI ANAK YATIM, ASNAF
Next post HILAI TAWA ANAK ASNAF SENTUH HATI TOK RAOP