Sorting by

×

DONDANG SAYANG ‘MENU’ UTAMA WTD, WTC 2025

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

SUNGAI UDANG 25 Mei – Dondang sayang bakal dijadikan ‘menu’ utama pada sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC), September depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, seni warisan yang sudah menjadi jati diri Negeri Melaka itu akan dibawakan khas bagi menghiburkan delegasi pelancongan dari lebih 155 buah negara yang akan berkampung di negeri ini.

Jelas beliau, usaha itu juga bagi memperkenalkan keindahan dondang sayang yang telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai ‘Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity’.

“Ada yang tertanya-tanya apa yang akan kita isi tatkala delegasi menteri-menteri pelancongan seluruh dunia datang ke Melaka? Pastinya dondang sayang akan menjadi menu utama dalam seni dan budaya Melaka.

“Pada masa sama, budaya-budaya daripada pelbagai etnik di negeri ini juga akan kita persembahkan supaya semua dapat melihat dan menilai bahawa warisan seni ini telah datang kepada kita lebih daripada 600 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Turut bersama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA) Drs. Mohd Nasruddin Rahman serta lain-lain kenamaan.

Pertandingan itu disertai seramai 17 peserta membabitkan usia 9 hingga 70 tahun, di mana ia mempertandingkan dua kategori iaitu nyanyian dan tarian dondang sayang.

Ab Rauf berkata, bagi memastikan dondang sayang terus diwarisi generasi akan datang, Kerajaan Negeri menerusi INSWA telah menganjurkan Bengkel Dondang Sayang sejak Januari tahun ini.

Jelas beliau, Bengkel Dondang Sayang itu akan diteruskan di setiap DUN sempena Program WRUR bagi membuka peluang kepada pelajar sekolah, mahasiswa dan komuniti untuk belajar dan menghayati seni warisan yang cukup sinonim dengan bumi bersejarah ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post SKUAD ANAK MUDA POGRESIF EJEN TRANSFORMASI BELIA MASJID TANAH
Next post MELAKA BAKAL LANCARKAN UNIT SENI DAN BUDAYA