
DUA MAUT KERETA TERPEROSOK BAWAH LORI BUAT PUSINGAN U
AYER MOLEK 23 Mei – Dua warganegara asing maut selepas kereta dinaiki terbabit nahas dengan sebuah lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Tiang Dua berhampiran sebuah kilang ayam, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi tadi, Abdulla Shaied, 47, warganegara Bangladesh dan Nguyen Thanh Loan, 46, warganegara Vietnam maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka, kaki dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota yang dinaiki kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke Jasin.
Katanya, ketika tiba di lokasi, sebuah lori jenis Nissan dari arah bertentangan membuat pusingan U menyebabkan kereta dinaiki mangsa tidak sempat membrek dan melanggar bahagian sisi lori berkenaan.
“Kesan brek sejauh 45 meter telah dikesan atas permukaan jalan dan akibat rempuhan itu kedua-dua pemandu dan penumpang kereta telah disahkan maut di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol.61 telah dikeluarkan bagi menjalankan bedah siasat,” katanya.
Menurut Christopher, pemandu lori berusia 48 tahun itu tidak mengalami kecederaan dan didapati negatif barang terlarang, selain akan dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil darah bagi ujian alkohol.
Katanya, kenderaan terlibat juga telah ditahan di PUSPAKOM bagi pemeriksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kilang berhampiran dan pihak polis akan mendapatkan rakaman tersebut bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.