Sorting by

×

DUA PUNCA PENCEMARAN SUNGAI AIR BATU DIKENAL PASTI, PELAN TINDAKAN HOLISTIK DIAMBIL

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PAYA RUMPUT 15 Julai – Dua punca utama telah dikenal pasti berkait dengan isu pencemaran Sungai Air Batu dan Sungai Lereh, baru-baru ini, maklum Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan pelbagai agensi terlibat, dua punca itu adalah kebocoran yang berlaku di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, selain pelepasan sisa ternakan di kawasan sekitar.

Jelas beliau, isu kebocoran di tapak pelupusan Sungai Udang adalah disebabkan Leachate Treatment Plant (LTP) yang hanya mampu menampung 300 meter kubik setiap hari, sedangkan sampah yang dibawa ke tapak pelupusan itu mencecah 800 meter kubik.

Justeru, beliau, memaklumkan antara langkah yang diambil adalah membuka satu lagi sel pelupusan baharu yang telah dibuka sebut harganya, selain LTP sedia ada juga akan dinaik taraf untuk menampung 800 meter kubik sampah setiap hari di mana peruntukan tersebut telah diluluskan.

“Dengan adanya sel baharu dan naik taraf LTP ini, ia dijangka dapat menampung jumlah sampah yang dijana di negeri ini pada setiap hari, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya pencemaran di sungai berdekatan.

“Selain itu, untuk jangka panjang , kita juga sedang menunggu pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga atau Waste-to-Energy (WtE) kedua negara yang akan dibina di Sungai Udang dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2029,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang mengadakan Lawatan Kerja Ke Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS Hang Jebat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, berhubung pelepasan sisa ternakan ke sungai, Rais berkata, Kerajaan Negeri menerusi agensi berkaitan, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan, termasuk mengadakan pertemuan dengan penternak untuk menambah baik aspek pengurusan ternakan.

“Saya difahamkan, penternak telah mengambil tindakan segera untuk menambah kolam batu bagi memastikan tiada lagi sisa haiwan ternakan terlepas ke sungai sehingga mengundang pencemaran yang menjejaskan penduduk dan petani.

“Kita memahami rakyat di Sungai Udang khususnya telah melalui pelbagai fasa pengorbanan kerana kawasan itu merupakan satu-satunya lokasi tapak pelupusan sampah bagi seluruh Negeri Melaka.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri juga akan berusaha untuk memastikan segala masalah dan aduan membabitkan rakyat ini dapat kita atasi bukan sahaja untuk jangka masa pendek, bahkan jangka masa panjang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post SATU NEGERI, SATU TABIKA KEMAS AUTISME TAHUN DEPAN
Next post 131 ANAK AUTISME MELAKA LAYAK TERIMA SUBSIDI YURAN PEMBELAJARAN