
DUN AYER LIMAU FOKUS RUMAH MAMPU MILIK, BAWAH RM250,000
AYER LIMAU 5 April – Projek rumah mampu milik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau menjadi keutamaan dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penyediaan rumah pada harga berpatutan amat penting memandangkan permintaan terhadap kemudahan asas itu kini berada pada tahap tinggi.
“Bagi pembangunan pada masa hadapan saya akan berbincang bersama-sama dengan pemaju untuk menyediakan perumahan-perumahan baharu dalam kawalan harga mampu milik mengikut kepada sosial ekonomi kawasan setempat.
“Ini kerana saya tidak mahu dengan nilai kos yang tinggi unit rumah tidak mampu dimiliki memandangkan permintaan datangnya daripada mereka yang tiada rumah.
“Sebab itu di DUN Ayer Limau ini saya hanya membenarkan pemaju yang boleh mengikut syarat iaitu pembinaan rumah mampu milik dengan nilai kos bawah RM250,000 dan kita bukan sahaja meluluskan tetapi memberikan kerjasama yang baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Jualan Taman Seri Serunai Alor Gajah Melaka yang turut dihadiri Naib Presiden ANGKASA Datuk Che Mohd Shukree Che Isa, di sini, semalam.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata di DUN Ayer Limau hanya terdapat dua taman perumahan yang dibangunkan sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Penting bagi saya melihat kepada tahap sosial ekonomi penduduk setempat, kita faham hari ini permintaan atau kehendak untuk memiliki rumah begitu tinggi. Jadi, selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) rumah mampu milik perlu menjadi keutamaan di DUN Ayer Limau.
“Dengan pembinaan sebanyak 46 unit rumah dengan nilai mampu milik oleh pihak MyAngkasa Bina Sdn Bhd saya ucapkan terima kasih kerana ini secara tidak langsung dapat membantu menyelesaikan sedikit isu berkaitan perumahan di DUN Ayer Limau,” katanya.
Jelas beliau, kawalan harga dan syarat pembangunan yang ditetapkan adalah bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan keperluan sebenar rakyat di kawasan tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


