
DUN PAYA RUMPUT SEMARAK PATRIOTISME, SAMBUTAN MERDEKA JADI ACARA TAHUNAN
PAYA RUMPUT 7 September – Penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput 2025 menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata penganjuran julung kali diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk turut merasai semangat bulan kebangsaan meskipun sambutan peringkat negeri telah diadakan pada 31 Ogos lalu.
“Sambutan Hari Kebangsaan ini seharusnya berterusan hingga tanggal 16 September nanti iaitu pada Hari Malaysia, bukan bersemangat cuma dua tiga hari sahaja.
“Saya amat bersyukur dengan sambutan yang begitu meriah walaupun perancangan program ini dibuat dalam tempoh singkat. Terima kasih kepada semua agensi yang membantu menjayakan acara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, berkata penganjuran sambutan tersebut di peringkat DUN merupakan titik permulaan yang akan diangkat menjadi acara tahunan.
“Sambutan ini lebih bermakna apabila penduduk sekitar DUN Paya Rumput hadir dan menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah menawarkan hadiah utama sebuah motosikal elektrik selain barangan elektrik.
“Malah kita turut adakan pertandingan nyanyian lagu patriotik dbahagikan kepada kategori kanak-kanak dan terbuka,” katanya.
Terdahulu, seawal jam 8 pagi, Rais bersama isteri Datin Ernie Aidilia Karim menyempurnakan pelepasan lebih 500 peserta bagi acara Family Fun Run.
Pada sambutan terbabit, hampir 5,000 pengunjung memeriahkan sambutan tersebut dengan menyertai pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan mewarna, pakaian berhias, konda kondi dan dam aji.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.