Sorting by

×

DUN TANJUNG BIDARA TERUS NYALAKAN OBOR PENDIDIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 14 November – Komitmen tinggi terhadap aspek pendidikan menjadi fokus di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, apabila pelbagai inisiatif dilakukan termasuk meraikan pelajar cemerlang.

Setiausaha Japerun Tanjung Bidara, Ahmad Warid Ismail berkata, program yang diadakan bukan sekadar untuk meraikan malah secara tidak langsung memberi motivasi kepada pelajar untuk lebih cemerlang.

“Selain penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang turut diberi perhatian adalah keperluan sekolah, di mana, sejumlah RM7,000 disumbangkan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di dalam DUN Tanjung Bidara.

“Malah sebagai penghargaan juga kita turut menghargai usaha pihak sekolah yang sentiasa bersungguh-sungguh mendidik pelajar. Untuk pengetahuan SRA JAIM Kampung Pulau telah dipilih menerima Anugerah Sekolah Cemerlang 2024 Peringkat Negeri Melaka.

“Ini adalah program tahunan di DUN Tanjung Bidara yang diilhamkan oleh Ketua Menteri untuk kita menyantuni golongan pelajar sama ada di peringkat sekolah mahupun pelajar institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Anak Muda DUN Tanjung Bidara Dan Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Ujian Penilaian Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2024/ Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.

Pada majlis itu seramai 38 pelajar ijazah termasuk tiga pelajar diploma dan 65 pelajar cemerlang UPKK 2024 menerima sumbangan.

Menurut Ahmad Warid, pendidikan diberi perhatian kerana ia adalah asas kepada kemajuan masyarakat dan pembangunan negeri.

“Di DUN Tanjung Bidara ini pelbagai program pendidikan dijalankan sepanjang tahun termasuk program motivasi dan bantuan keperluan persekolahan untuk pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama turut berlangsung penyampaian hadiah bersempena penganjuran Sukan Melaka Peringkat DUN Tanjung Bidara dan Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

334
Kongsi :
Previous post 13,000 POKOK ‘HIJAUKAN’ KAWASAN TADAHAN AIR MELAKA
Next post SENI ‘LUKISAN BERLIAN’ SUMBER REZEKI OKU