Sorting by

×

DURIAN TUNGGAL JADI ZON PERTUMBUHAN EKONOMI BAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 9 Disember – Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal berpotensi menjadi zon pertumbuhan ekonomi baharu Melaka pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia berdasarkan kedudukan strategik DUN berkenaan yang terletak di pintu masuk Negeri Melaka iaitu berhampiran plaza tol Ayer Keroh, sekali gus beruapaya menarik pelaburan dan memacu pelancongan.

Katanya, bagi menyokong hasrat itu, sebuah kawasan perindustrian baharu iaitu German Technology Park (GTP) telah dibangunkan dengan inisiatif swasta bagi menyokong perancangan Kerajaan Negeri memajukan Durian Tunggal.

“Pembangunan GTP ini akan membawa limpahan ekonomi bukan sahaja kepada Durian Tunggal tetapi juga Negeri Melaka, di mana ia bakal mencipta peluang pekerjaan dan limpahan itu bakal menjadi satu kluster ekonomi baharu.

“Pada masa sama, kita juga telah mengenal pasti beberapa kawasan di Durian Tunggal yang berpotensi diangkat menjadi kawasan pelancongan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerusi Rancangan Tempatan MPHTJ 2035 dalam fasa publisiti turut mengenal pasti Pekan Durian Tunggal serta keseluruhan DUN Durian Tunggal sebagai kawasan pembangunan utama.

Jelas beliau, kawasan itu dirancang untuk berfungsi sebagai Pusat Perniagaan Utama yang menempatkan elemen perniagaan, peruncitan, perbankan dan perkhidmatan ikhtisas.

“Pekan Durian Tunggal juga digariskan sebagai salah satu ‘focal point’ yang berperanan memberikan elemen ‘sense of welcoming’ kepada para pengunjung yang masuk melalui pintu utama negeri.

“Keseluruhan pendekatan ini bakal merancakkan lagi aktiviti PKS tempatan, serta menjadikan Durian Tunggal sebagai salah satu kawasan pertumbuhan baharu yang lebih berdaya saing dan mampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

440
Kongsi :
Previous post ‘ZEAS’ PACU PEMBANGUNAN EKONOMI TIGA NEGERI, DISOKONG 4 PROJEK UTAMA
Next post LEBIH 12,000 KAMPIT BERAS MELAKA 10KG TERJUAL – EXCO