
DUYONG SASAR JADI DUN PERTAMA LENGKAPKAN PROSES KAMPUNG DIGITAL
DUYONG 15 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, berpotensi menjadi kawasan pertama di Negeri Melaka yang berjaya melengkapkan sepenuhnya proses agihan dan menampal pelekat Kampung Digital.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, berdasarkan maklum balas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, proses itu disasarkan mampu diselesaikan dalam tempoh seminggu.
Katanya, komitmen semua pihak berkaitan seperti Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), wakil Japerun serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melancarkan lagi proses kini sedang giat dijalankan.
“Saya lihat semua Pengerusi JPKK dan wakil Japerun DUN Duyong bersemangat untuk menjayakan hasrat ini, kerjasama daripada pegawai JPN juga melancarkan lagi urusan menukar alamat penduduk.
“Jika berjaya, saya akan maklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bahawa DUN Duyong merupakan kawasan pertama di Negeri Melaka yang melengkapkan proses menampal pelekat Kampung Digital,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyampaikan Taklimat Penyerahan Pelekat Inisiatif Kampung Digital bagi DUN Duyong bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong di Kampung Simpang Semabok, di sini, semalam.
Turut hadir Adun Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad.
Mengulas lanjut Fairul Nizam berkata, proses menampal pelekat Kampung Digital bagi DUN Duyong melibatkan 3,634 premis di 21 kampung dengan kerjasama 14 JPKK.
“Pada hari ini (semalam) sahaja kita sudah selesai menampal pelekat Kampung Digital di 128 kediaman. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif pendigitalan yang digerakkan Kerajaan Negeri di bawah program Kampung Digital, melibatkan 618 kampung seluruh Melaka.
“Inisiatif ini dapat menyelaras alamat penduduk mengikut sistem digital terkini selain memastikan profil komuniti sentiasa dikemas kini bagi memudahkan urusan rasmi kerajaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.