Sorting by

×

DUYONG ‘TAK REHAT’ HUJUNG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TELOK MAS 6 Disember – Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bakal diwarnai pelbagai acara-acara besar sepanjang bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, antara acara utama adalah Larian Budaya Antarabangsa DUYONGkita yang akan berlangsung pada 21 Disember ini di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit.

Menurutnya, acara ikonik Duyong itu lebih meriah pada tahun ini apabila menerima penyertaan 10,000 peserta hanya dalam tempoh enam hari sahaja.

“Seperti biasa, pelbagai cabutan bertuah akan ditawarkan pada tahun ini, di mana hadiah-hadiahnya lebih menarik termasuklah motosikal selain hadiah-hadiah unik yang akan diumumkan kelak.

“Selain itu, akan ada juga artis jemputan dibawa bagi menghiburkan orang ramai. Saya mempelawa semua untuk datang merasai keriangan bersama warga Duyong sempena larian budaya tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Pesekolahan ‘Jom Ke Sekolah’ Kepada Anak-Anak Asnaf Fakir, Miskin Dan Mualaf Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2026 Parlimen Kota Melaka Bagi Tahun 2025M/1447H anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Dewan Komuniti Telok Mas, di sini, hari ini.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, selain acara berkonsep sukan dan hiburan, tiga program keagamaan turut menyuburkan DUN Duyong sempena penutup tahun 2025.

Menurutnya, antara program yang akan diadakan adalah Ceramah Perdana ‘Menghidupkan Hati Dengan Cinta Allah’ yang disampaikan Tuan Guru Buya Yahya pada 16 Disember ini di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong.

“Selain itu, pada 19 Disember pula Ustaz Abdul Somad akan mengadakan ceramah perdana di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit manakala pada 26 Disember pula bersama Ustaz Mad Kechik di Masjid Al-Abrar,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026 HOLISTIK, MESRA PELANCONG – PPSPM
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026 RINGANKAN BEBAN PENIAGA