Sorting by

×

‘DUYONGKITA’ JADI APLIKASI PILIHAN KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DUYONG 16 Julai – Aplikasi ‘DUYONGkita’ kini mencatat lebih 4,000 pengguna sejak dilancarkan Mac lalu, sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai platform penyampaian maklumat pantas dalam kalangan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, aplikasi itu dibangunkan bagi memudahkan penduduk menerima maklumat segera berkaitan isu setempat seperti gangguan bekalan air, elektrik, atau kejadian kecemasan.

“Objektif kita jelas, iaitu memastikan maklumat sampai dengan cepat kepada rakyat.

“Contohnya kalau berlaku gangguan bekalan air, kita boleh memberi makluman awal supaya penduduk boleh membuat persediaan. Kadang-kadang kita lebih laju daripada agensi rasmi sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santai Warisan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka Bandaraya Warisan Dunia (UNESCO) dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, di sini, semalam.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, sepanjang dua minggu pelaksanaan WRUR, aplikasi DUYONGkita turut digunakan untuk memaklumkan jadual program dan aktiviti yang padat kepada orang ramai.

“Kalau mahu muat naik satu per satu program ke media sosial memang susah sebab selang 15 minit ada satu aktiviti. Dengan DUYONGkita, kita masukkan terus jadual dan lokasi dalam aplikasi.

“Kebanyakan program disusun hujung minggu dengan penyertaan orang ramai, jadi aplikasi ini sangat membantu dari segi penyelarasan dan hebahan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memperluaskan penggunaan aplikasi berkenaan dan menambah baik fungsinya, sekali gus memastikan aplikasi itu terus relevan sebagai saluran komunikasi utama antara pemimpin dan komuniti setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

965
Kongsi :
Previous post PAMERAN SEJARAH MELAKA WARNAI WTD, WTC 2025 – PERZIM
Next post KADAR KEPULIHAN KLIEN AADK DI MELAKA MENINGKAT