
ECO CRUISE SUNGAI LINGGI REKOD LEBIH 3,000 PENGUNJUNG
KUALA LINGGI 7 Januari – Eco Cruise Sungai Linggi @Paya Lebar terus menjadi antara produk pelancongan ikonik utara Melaka yang berjaya menggamit pelancong dari dalam dan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, sehingga awal Januari 2026, pihaknya merekodkan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.
Katanya, lokasi pelancongan alam semula jadi itu terus mendapat perhatian pelancong domestik dan luar negara termasuk dari Kanada, Singapura, Indonesia, Switzerland dan Uruguay.
“Eco Cruise Sungai Linggi @ Paya Lebar ini terus menerima sambutan menggalakkan khususnya sepanjang cuti persekolahan yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengunjung untuk menikmati aktiviti berasaskan flora dan fauna.
“Pelayaran ini menawarkan pengalaman unik menelurusi sungai yang kaya dengan kepelbagaian alam semula jadi termasuk habitat buaya serta landskap alam yang digelar ‘mini Amazon’,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, keunikan yang dibawa Eco Cruise Sungai Linggi menjadikannya sebagai antara tarikan pelancongan alam semula jadi terbaik dalam negara.
“Keistimewaan tarikan mini Amazon ini berjaya menarik hati pengunjung dan lebih menarik lagi pendedahan mengenai kepentingan pemeliharaan ekosistem semua jadi ini turut diberi sepanjang tempoh perjalanan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


