Sorting by

×

ECO-CRUISE SUNGAI LINGGI TAWAR 3 PAKEJ, PELAYARAN TUJUH HARI SEMINGGU

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LINGGI 5 Jun – Produk pelancongan baharu Eco-Cruise Sungai Linggi bakal menawarkan tiga kategori pakej pelayaran istimewa menelusuri Sungai Linggi bermula Julai ini, iaitu sepanjang dua bulan tempoh percubaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, pelayaran Eco-Cruise Sungai Linggi itu dijadual beroperasi setiap hari dengan mampu memuatkan 30 penumpang satu-satu masa.

Jelas beliau, dengan memperkenalkan bot berkonsep klasik, pelayaran itu akan bermula di jeti muara Sungai Linggi berhampiran Markas Taktikal Pasukan Polis Marin W2 Kuala Linggi sehingga ke Kafe Terapung Sungai Linggi @Taman Lokan sebelum meneruskan perjalanan ke Teluk Berembang.

“Untuk Eco-Cruise Sungai Linggi ini pakej ditawarkan termasuk dengan makanan oleh itu ketetapan harga adalah berdasarkan pemilihan waktu dibuat sama ada kategori pakej itu untuk hidangan makan pagi, makan tengah hari atau minum petang.

“Malah terdapat dua konsep makan sama ada penumpang memilih untuk makan di dalam bot semasa pelayaran ataupun menikmati hidangan secara ‘buffet’ di kafe terapung.

“Menariknya juga, pengunjung atau pelancong boleh datang secara terus ke jeti untuk menikmati tarikan pelayaran baharu ini kerana Eco-Cruise Sungai Linggi dijadualkan beroperasi tujuh hari seminggu dari pagi hingga ke petang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menyertai lawatan kerja Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Sungai Linggi, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; barisan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

6197193378253358587
ECO-CRUISE Sungai Linggi menjanjikan kelainan. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurut Shaharul Azuar, sepanjang tempoh promosi selama dua bulan, PPSPM akan menawarkan harga istimewa untuk pengunjung dan pelancong supaya dapat merasai pelayaran dengan keindahan flora dan fauna di Sungai Linggi dalam suasana berbeza.

“Eco-Cruise Sungai Linggi ini akan memulakan operasi dan dibuka kepada pengunjung pada Julai ini yang mana sepanjang tempoh promosi kita akan tawarkan harga minimum.

“Bagaimanapun harga untuk ketiga-tiga kategori pakej ini masih dalam proses penetapan sebelum diumumkan.

“Sepanjang pelayaran penumpang akan dapat melihat keunikan habitat yang terdapat di Sungai Linggi seperti buaya, begitu juga flora dan fauna yang lain. Malah, Sungai Linggi juga turut dikenali sebagai ‘Mini Amazon’,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada masa sama Eco-Cruise Paya Lebar masih beroperasi seperti biasa namun jadual pelayaran bot itu bergantung kepada keadaan air pasang surut oleh itu pengunjung atau pelancong yang berminat perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1212
Kongsi :
Previous post LAPOR KEBOCORAN PAIP DI MELAKA, SAMB BAKAL TAWAR HADIAH
Next post FASA KEDUA JUALAN BERAS MELAKA PADA JULAI INI