
ECO CRUISE SUNGAI RAMBAI DILANCAR TAHUN DEPAN
DUYONG 1 November – Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) akan memperkenalkan satu lagi tarikan pelayaran menelusuri sungai di daerah Jasin tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, tarikan terbaharu itu adalah Eco Cruise Sungai Rambai.
Menurut beliau, penambahan produk terbaharu itu adalah bersempena sambutan dua dekad PPSPM, di mana ia diperkenalkan bagi menambahkan lagi kepelbagaian produk pelancongan yang ada di negeri ini.
“Ini merupakan tambahan produk baharu di selatan Negeri Melaka selepas kita memperkenalkan Eco Cruise Tasik Chinchin yang kini mendapat sambutan hebat.
“Penambahan produk baharu ini juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat Melaka dan pelancong yang telah banyak memberikan sokongan kepada produk pelancongan di bawah PPSPM,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Perhimpunan Bulanan PPSPM Bulan Oktober 2025, baru-baru ini.
Untuk rekod, setakat ini, PPSPM mengendalikan tiga pakej pelayaran menelusuri sungai iaitu Melaka River Cruise, Eco Cruise Sungai Linggi dan Eco Cruise Tasik Chinchin.
Selain itu, PPSPM turut memperkenalkan pelbagai pakej lain, antaranya Melaka Sea Cruise, Everlasting Love, Coffee and Cruise dan Melaka Water Taxi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


