
eDUN PACU TRANSFORMASI SIDANG DEWAN MELAKA
AYER KEROH 9 Mac – Sistem e-DUN yang bakal diperkenalkan secara rasmi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang bakal menjadi satu lagi inisiatif digital yang dapat melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Sistem itu merupakan satu kaedah digital pengurusan Dewan Undangan Negeri Melaka di mana ia bakal menggantikan kaedah konvensional secara manual seperti yang dipraktikkan sebelum ini.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerk Chee Yee berkata, inisiatif eDUN telah mula digerakkan beberapa bulan lalu dengan matlamat untuk mendigitalkan semua proses dalam pentadbiran sidang DUN.
Beliau percaya, menerusi sistem itu, ia diyakini dapat membantu melicinkan perjalanan persidangan dewan dan pada masa sama memiliki pangkalan data di dalam sistem tersebut yang dapat memudahkan semua yang terlibat untuk membuat semakan persidangan dewan terdahulu.
“Sebelum ini, kita hanya bergantung kepada kaedah manual di mana soalan-soalan dewan akan ditaip dan dihantar, selain memerlukan sebuah pasukan yang besar untuk pelbagai pertanyaan dan jawapan bagi setiap persidangan.
“Tapi dengan adanya eDUN ini, ia dapat mencapai objektif untuk kita melancarkan proses tersebut dan pada masa sama dengan adanya pangkalan data di dalam sistem ini, ia dapat membantu ramai pihak khususnya warga kerja Unit Dewan menguruskan segala data dan soalan diterima.
“Setakat ini, sistem eDUN ini telah melalui fasa percubaan dan dijangka ia akan mula digunakan pada sidang DUN Melaka yang akan datang,” katanya ketika ditemui pada Walkabout Kempen Internet Selamat 2026 @ Bazar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Pengarah MCMC Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.
Chee Yee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh berkata, sistem itu juga dapat membantu dalam penyelesaian masalah lebih mudah, misalnya menerusi soalan yang dihantar, ia boleh diakses secara terus oleh jabatan dan agensi berkaitan.
“Kita percaya sistem ini bakal menjadi satu kaedah holistik dalam aspek pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri di masa akan datang,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


