
EKSPEDISI SAINTIFIK ‘TEROKA’ KHAZANAH BIODIVERSITI HUTAN MELAKA
AYER KEROH 28 Jun – Lebih 80 penyelidik mengambil bahagian dalam ekspedisi saintifik bertujuan untuk ‘meneroka’ dan mengumpul data serta maklumat berkaitan khazanah biodiversiti tiga kawasan hutan utama di negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tumpuan ekspedisi adalah di tiga lokasi penting iaitu Hutan Simpan Bukit Sedanan, Hutan Simpan Bukit Senggeh dan Hutan Simpan Batang Melaka.
Rais berkata, data berkenaan amat berguna dalam membantu Kerajaan Negeri merangka dasar dan hala tuju pengurusan hutan serta memacu potensi eko-pelancongan Melaka.
“Saya percaya inisiatif ini selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di bawah Flagship 5 – Strategi Negeri Lestari.
“Terima kasih kepada semua yang menjayakan ekspedisi ini, khusus kepada Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Diharapkan agar kita terus berganding bahu dalam usaha pemuliharaan biodiversiti demi generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Terdahulu Rais, menyempurnakan Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Negeri Melaka 2025 yang berlangsung di Hutan Taman Negeri, Bukit Sedanan, pada Jumaat.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Rani, Pengarah Perhutanan Negeri Melaka, Khirun Nizam Abdul Rahim dan Ketua Ekspedisi, Dr. Ahmad Fitri Zohari.
Katanya ekspedisi edisi ke-49 ini telah berlangsung dari 22 hingga 26 Jun, menghimpunkan penyelidik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, institusi penyelidikan serta Pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ekspedisi ini amat penting dalam usaha mengumpulkan data dan maklumat berkaitan biodiversiti hutan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.