
ELAK UDANG GALAH PUPUS DI SUNGAI PAYA LEBAR
AYER LIMAU 19 Mei – Program pelepasan benih berhasil mengekalkan stok dan mengekalkan status Sungai Paya Lebar, Masjid Tanah, di sini, sebagai antara lubuk udang galah bagi daerah Alor Gajah.
Ketua Jaringan Perikanan Paya lebar, Mohamad Jantan, 78, berkata, empat tahun lalu nelayan sungai kawasan itu dilanda keresahan berikutan penurunan mendadak hasil tangkapan udang galah.
Katanya, usaha tersusun dan berkala dilaksanakan Jabatan Perikanan (DOF) Melaka dan agensi Kerajaan Negeri yang lain amat melegakan lebih 60 nelayan kawasan berkenaan yang kini mula meraih hasil lumayan setiap kali turun ke sungai.
“Alhamdulillah sekarang ini DOF melaksanakan pelepasan benih udang galah secara berkala, dua atau tiga kali setiap tahun, memang melegakan nelayan, sekarang setiap kali turun ke sungai pasti tidak pulang dengan tangan kosong.
“Bagi saya usaha dilaksanakan bukan setakat menguntungkan nelayan semata-mata, kita juga perlu lihat sudut lebih luas iaitu sungai ini kekal sebagai lubuk udang galah, ini adalah peninggalan boleh kita wariskan kepada anak cucu akan datang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Jeti Nelayan Paya Lebar.

Mohamad yang sudah 15 tahun menjadi nelayan sungai berkata, secara purata dia mampu meraih pendapatan empat angka setiap bulan hasil jualan udang galah dan amat berpuas hati dengan apa dinikmati sekarang.
Menurutnya, tangkapan udang galah amat menguntungkan kerana dijual sekitar RM60 satu kilogram (kg) dan boleh meningkat kepada RM90 satu kg pada musim perayaan berikutan permintaan yang tinggi.
“Setiap kali turun ke sungai paling kurang dapat hasil tangkapan satu atau dua kg sudah baik, kerana secara purata masa bekerja cuma sekitar empat jam sahaja. Jika mahu lebih nelayan perlu gandakan usaha, insya-Allah berhasil kerana stok udang di sungai ini memang semakin banyak.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan DOF atas inisiatif amat bermakna ini. Pelepasan benih dilaksanakan amat membantu dalam mengekalkan stok udang galah di Sungai Paya Lebar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.