
EMPANGAN JUS MAMPU BERTAHAN HINGGA NOVEMBER – AB RAUF
ASAHAN 8 April – Bekalan air di Empangan Jus dijangka mampu bertahan sehingga November ini sekiranya keadaan cuaca kering berterusan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, berdasarkan pemantauan semasa, penggunaan air di empangan berkenaan masih terkawal dengan kadar penurunan paras air hanya sekitar 0.3 peratus sehari.
Menurutnya, jumlah penggunaan air bagi kawasan tadahan air itu ketika ini adalah kira-kira 300 juta liter sehari.
“Kalau kita berada dalam keadaan kering berterusan, Empangan Jus ini boleh bertahan hingga bulan November berdasarkan penggunaan semasa.
“Setakat ini, penurunan paras air hanya sekitar 0.3 peratus sehari dan ia masih dalam keadaan terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Loji Empangan Jus Fasa 2 di Empangan Jus, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Mohd Saleh Jusman.
Mengulas lanjut, beliau berkata Melaka kini berdepan musim panas berpanjangan dengan taburan hujan rendah yang dijangka berterusan sehingga September berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Walau bagaimanapun, katanya hujan yang berlaku sejak beberapa hari lalu sedikit sebanyak membantu menstabilkan paras air di empangan utama negeri ini.
“Walaupun ada perkembangan positif, Kerajaan Negeri tidak mengambil mudah kerana paras air boleh menurun semula sekiranya cuaca kering berterusan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


