
EMPAT FOKUS UTAMA MCORP KE ARAH KECEMERLANGAN ORGANISASI
AYER KEROH 6 Ogos – Perbadanan Melaka (MCORP) menekankan kepentingan empat fokus utama bagi melonjakkan kecemerlangan organisasi serta menyumbang secara berkesan kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata empat fokus yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan masa, pengurusan manusia, kewangan dan pembangunan kendiri.
“Empat aspek tersebut perlu dijadikan panduan bukan sahaja bagi pengurusan korporat, malah dalam kehidupan peribadi setiap warga kerja.
“Masa perlu diurus dengan baik, begitu juga dengan pengurusan manusia. Jangan fokus hanya pada satu bisnes sahaja, tetapi kita perlu bina sistem untuk urus manusia dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MCORP Bagi Bulan Ogos 2025 bersama Kumpulan Syarikat di Galeri MCORP, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Ketua Pegawai Operasi MCORP, Muhammad Ridzwan Yap Abdullah.
Mohd Yusof, turut menekankan pentingnya ilmu pengurusan kewangan dan keupayaan mengawal diri terutamanya apabila berada dalam zon selesa.
“Kita perlu bijak mengurus kewangan kerana ada pelbagai cara untuk melakukannya. Bila sudah ada duit, jangan lupa diri. Urus diri sendiri supaya sentiasa positif,” katanya.
Katanya, MCORP sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dan komited memperkasakan latihan sistematik yang berterusan, termasuk dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Justeru warga MCORP perlu menanam semangat bekerja bukan sekadar untuk diri sendiri, sebaliknya menyumbang demi kepentingan organisasi dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.