
EMPAT LOKASI ‘PICK UP & DROP OFF’ E- HAILING DI BANDA HILIR
AYER KEROH 12 Oktober – Bagi memudahkan urusan pelancong dan pemandu e-hailing, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan kerjasama Grab Malaysia memperkenalkan papan tanda khas ‘Pick-Up & Drop-Off’ di empat lokasi tumpuan sekitar Banda Hilir.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu hasil perbincangan antara pihaknya dan Grab Malaysia (Syarikat Grab Sdn. Bhd.) selepas menerima banyak maklum balas daripada pelancong yang sukar mengenal pasti lokasi sesuai untuk dijemput atau diturunkan.
Katanya, empat lokasi dikenal pasti ialah Padang Nyiru, Menara Taming Sari, Medan Samudera dan Dataran Pahlawan.
“Ramai pelancong dan pengguna Grab tidak tahu lokasi sesuai untuk ‘pick-up’ atau ‘drop-off’ dan kita sering menerima aduan berkaitan perkara itu.
“Jadi, kita adakan perbincangan dengan pihak Grab dan mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi meletakkan papan tanda khas ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shadan, selain pemasangan papan tanda fizikal, sistem dalam aplikasi Grab juga akan dikemas kini bagi menyenaraikan lokasi rasmi tersebut untuk memudahkan pemandu mengenal pasti tempat menjemput dan menurunkan penumpang.
Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu memperkemas pengurusan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancong, malah memberi manfaat ekonomi kepada pemandu gig tempatan.
“Sebelum ini ada pemandu gig yang terpaksa membatalkan pesanan kerana pelanggan tidak tahu tempat sesuai untuk dijemput. Dengan adanya papan tanda ini, masalah itu dapat dikurangkan,” ujarnya.
Tambah beliau, MBMB turut merancang memperluaskan inisiatif berkenaan ke kawasan lain di bawah pentadbiran MBMB.
“Kita juga bercadang memperluas inisiatif ini ke kawasan bukan pelancongan sekiranya pelaksanaan fasa pertama ini berjaya dan mendapat sambutan baik daripada pengguna serta pemandu,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.