
EMPAT PROGRAM BESAR PERINGKAT NEGERI BERSEMPENA WRUR DUN SUNGAI UDANG
PAYA RUMPUT 18 Mei – Empat program besar bakal memeriahkan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bermula 18 hingga 31 Mei ini.
Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata empat program terbabit bermula dengan Sambutan Hari Tibi Peringkat Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata seterusnya Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka.
“Lagi dua program besar membabitkan Sungai Udang Berselawat dan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka.
“Kesemua program ini merupakan acara besar di peringkat negeri, sementara itu kita sudah susun sebanyak 137 program secara keseluruhan bagi WRUR DUN Sungai Udang.
“Kita juga akan sama-sama meneliti 150 jumlah isu serta aduan dibangkitkan pemimpin-pemimpin komuniti melibatkansembilan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta dua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baru (JPKKB),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sempena Program WRUR DUN Sungai Udang yang disempurnakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Dewan Anugerah Desa Cemerlang (ADC), Paya Rumput Jaya.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem bersama timbalannya, Siti Faizah Abd Azis; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hasim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Otman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata pihaknya akan memasuki ke setiap pelusuk kampung termasuk dalam Kem Terendak menyantuni warga DUN Sungai Udang.
“Saya harap program yang akan berlangsung selama dua minggu ini akan dijayakan dengan sebaiknya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.