Sorting by

×

EMPAT SRA JAIM PERINTIS ITHBAT KAFA PRA TAHFIZ

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 5 Disember – Empat Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM di Melaka menjadi perintis Program Ithbat Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Pra Tahfiz (IKP).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu sekali gus mengangkat Melaka sebagai negeri pertama di Malaysia melaksanakan program berteraskan hafazan sejak ia dibangunkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 2020.

Katanya, empat buah SRA JAIM terlibat dalam pelaksanaan rintis IKP iaitu SRA JAIM Jelatang, SRA JAIM Tanjung Minyak 2, SRA JAIM Sungai Putat dan SRA JAIM Taman Maju.

“Pelaksanaan program ini bertujuan melengkapkan kurikulum KAFA menerusi penambahan subjek iaitu hafazan al-Quran yang sebelum ini belum diwujudkan dalam sistem sedia ada.

“Pada 26 November lepas, keputusan rasmi IKP telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, sekali gus mencatat detik penting buat kumpulan pertama murid Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Melaka yang menduduki penilaian tersebut.

“Seramai 77 murid terlibat dan mencatat keputusan cemerlang dengan kelulusan 100 peratus, manakala gred purata skor (GPS) direkodkan pada 2.09, kejayaan itu lebih manis apabila tujuh murid memperoleh Mumtaz Mutamayiz (Cemerlang Tertinggi) dan 49 murid (63.64peratus) mencapai keputusan Mumtaz,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata murid yang menduduki IKP merupakan kumpulan sama yang mengambil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) ketika Tahun 5, selain mengikuti satu mata pelajaran tambahan iaitu hafazan al-Quran di bawah program Pra Tahfiz tersebut.

“Pelaksanaan program Ithbat KAFA Pra Tahfiz ini direkodkan hafazan bermula darjah 3 hinga darjah 5 mengikut surah-surah yang ditetapkan, manakala semasa di darjah 6 mereka menduduki Ujian akhir iaitu menghafaz semua surah.

“Kejayaan ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai perintis pendidikan KAFA berasaskan hafazan di peringkat nasional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post LENGKAPKAN BAKAL GRADUAN TVET DENGAN ILMU HARUNGI CABARAN INDUSTRI