Sorting by

×

ENAM KATEGORI UTAMA PENCAPAIAN WRUR DUN BEMBAN

Masa Membaca:4 Minit, 9 Saat

BEMBAN 5 Julai – Kejayaan menyelesaikan permasalahan rakyat sepanjang penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dibahagikan kepada enam kategori utama, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, kategori pertama melibatkan infrastruktur dan fasiliti dengan peruntukan berjumlah RM19.03 juta menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pelaksanaan projek di tiga sekolah sekitar DUN Bemban.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, projek itu merangkumi pembinaan bangunan gantian kantin dan membina dewan terbuka berbumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang Tua yang kini berada dalam langkah awal pelaksanaan.

Seterusnya kata beliau, adalah pembinaan bangunan baharu makmal sains tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Perak, dijangka siap pada 16 Julai ini dan pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lock ketika ini dalam pelaksanaan.

Sementara itu kategori kedua menumpukan kepada infrastruktur jalan raya dan saliran, iaitu pembinaan laluan dari Simpang Jalan Serkam-Bemban ke Simpang Jalan Kandang, sepanjang tiga kilometer (km) melibatkan kos RM20.2 juta bertujuan menjimatkan masa perjalanan, serta menyediakan laluan alternatif strategik yang memudahkan rakyat, khususnya warga Bemban.

Kategori ketiga pula, penambahbaikan kemudahan awam dan perumahan melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), bagi melaksanakan projek baik pulih jalan di Taman Bemban Baru dijadualkan bermula pertengahan bulan ini dengan kos RM500,000.

“Selain itu RM200,000 diperuntukkan bagi kerja baik pulih jalan dan longkang di Taman Bemban Jaya yang juga akan dilaksanakan pada pertengahan bulan ini. Bagi penyelenggaraan kecil infrastruktur awam, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), memperuntukkan RM231,000 bagi melaksanakan sembIlan kerja baik pulih merangkumi longkang pecah, tembok runtuh dan jalan mendap.

“Pejabat Daerah dan Tanah Jasin pula memperuntukkan RM120,000 bagi kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan enam prasarana komuniti, termasuk gelanggang futsal, gelanggang silat serta kerja-kerja lain.

“Melalui Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebanyak 30 buah rumah dibaik pulih dan 30 buah rumah dibina baharu dengan kos RM99,000. MPHTJ dan MPJ turut memperuntukkan RM99,000 Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) untuk baik pulih 38 buah rumah serta membina tiga buah yang baharu,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Bemban di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop, barisan Exco, Timbalan Exco serta pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, kategori keempat pula menumpukan kepada aspek kebajikan dan pembangunan masyarakat seperti sumbangan barangan elektrik dan kit makanan kepada lima keluarga di Kampung Asam Kumbang, kerap terjejas akibat banjir, dengan nilai keseluruhan RM20,000 oleh MPJ.

Jelas Ketua Menteri, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pula, Kerajaan Negeri menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, orang terlantar, saraan anak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), rawatan serta penjagaan orang tua.

“Secara keseluruhan, seramai 3,666 penerima mendapat manfaat melalui JKM, menerusi inisiatif MAIM pula ia memberi faedah kepada 1,800 asnaf. Pada masa yang sama, bagi perkhidmatan ambulans yang disediakan untuk kemudahan di DUN Bemban, sebanyak 54 penggunaan telah direkodkan dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM20,000,” katanya.

Bagi kategori kelima iaitu pengurusan risiko banjir Ketua Menteri berkata, beberapa ‘hotspot’ dalam DUN Bemban menjadi fokus utama sepanjang pelaksanaan WRUR.

Bagi mengatasi isu berkenaan terus berlarutan Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), memperuntukkan anggaran kos awal berjumlah RM1 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pengaliran sungai, penstabilan tebing, serta meninggikan ban sungai sepanjang 2.2 km di kawasan terjejas di Kampung Lubok Kasau.

Inisiatif itu katanya, dijangka memberi manfaat kepada kira-kira lebih 60 buah kediaman sering terjejas akibat banjir.

“Sebagai makluman, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Duyong diluluskan dengan kos keseluruhan RM117 juta turut memberi manfaat kepada DUN Bemban, khusus di Kampung Tehel. Projek ini sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan keselamatan penduduk.

“JPS turut memperuntukkan RM100,000 bagi Kerja-Kerja penstabilan tebing dan pengaluran Sungai Gapam yang dijangka siap pada September 2025,” katanya.

“Manakala terakhir iaitu yang keenam adalah inisiatif Kampung Digital melibatkan 37 Kampung dalam DUN Bemban. Alhamdulillah, sempena Program WRUR Bemban, kita berjaya mengedarkan pelekat alamat digital ke 16 buah kampung serta menyempurnakan proses penampalan ‘stiker’ (pelekat) di dua buah kampung iaitu Kampung Ulu Duyong dan Kampung
Solok Hilir, melibatkan sebanyak 196 premis secara keseluruhan.

“Insya-Allah, pengedaran dan pelaksanaan inisiatif ini akan diteruskan ke 19 kampung selebihnya dalam masa terdekat dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Ogos 2025. Inisiatif ini adalah usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat, khususnya penduduk kampung, mempunyai akses lebih mudah kepada pelbagai perkhidmatan termasuk urusan rasmi,
penghantaran barangan, kecemasan dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post 90 PERATUS ADUAN WRUR DUN BEMBAN SELESAI
Next post RM1 JUTA ATASI BANJIR LUBOK KASAU – KM