Sorting by

×

ENAM PENCAPAIAN UTAMA WRUR DUYONG

Masa Membaca:3 Minit, 0 Saat

DUYONG 26 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang berlangsung selama dua minggu sejak 13 Julai lalu berjaya meraih enam pencapaian utama.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian pertama adalah mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan warga Duyong, di mana, di bawah inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejumlah RM547,571 sebulan telah diperuntukkan kepada penerima bantuan dalam kalangan warga Duyong.

Jelas beliau, peruntukan itu melibatkan seramai 1,177 individu menerima manfaat dan sehingga Julai 2025 dengan bantuan keseluruhannya berjumlah RM3.83 juta.

Selain itu, beliau memaklumkan, menerusi program Ziarah Kasih, sebanyak 650 kit bantuan telah diagihkan kepada pesakit terlantar, golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal, warga emas serta penerima yang layak dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM90,000.

Menurut Ketua Menteri, pencapaian kedua adalah merealisasikan keperluan asas kehidupan rakyat menerusi program bina baharu dan baik pulih rumah serta infrastruktur di bawah beberapa agensi dan jabatan, antaranya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pejabat Pembangunan Negeri Melaka (ICU JPM).

“Pencapaian ketiga, mengangkat inisiatif golongan peniaga, di mana seramai 34 penjaja di bawah MBMB telah menerima lesen, selain diberi penempatan perniagaan yang lebih tersusun di sekitar Desa Duyong dan Desa Bistari.

“Selain itu, sebanyak RM78,433 telah diperuntukkan menerusi bantuan input pertanian bagi menyokong dan menggalakkan perusahaan penduduk tempatan dalam sektor pertanian, manakala, sebanyak RM331,210 lagi telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pelbagai inisiatif dan projek pembangunan pertanian di kawasan Duyong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Dewan Terbuka Semabok Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pencapaian keempat adalah memperkukuh infrastruktur jalan raya dan saliran, di mana beberapa projek besar sedang berjalan bagi menyelesaikan isu banjir kilat yang membelenggu masyarakat di beberapa kawasan.

Jelas beliau, antara projek itu adalah projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Duyong dengan kos RM163 juta yang dijangka siap pada 2027 serta kerja-kerja penyelenggaraan jalan kampung, naik taraf sistem perparitan dan fasiliti rakyat bernilai RM475,000 diperuntukkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.

Tambah beliau, turut menjadi fokus penyelesaian WRUR kali ini adalah isu kesesakan jalan raya di Duyong menerusi peruntukan RM3.5 juta bagi kerja naik taraf persimpangan Jalan Duyong Bestari ke IKS Duyong.

Pada masa sama, jelas beliau, projek naik taraf Jalan Tun Hamzah (FT264), daripada dua lorong kepada empat lorong dari Jalan Tun Hamzah ke Persimpangan Semabok Lebuh AMJ dengan nilai projek sebanyak RM300 juta juga bakal bermula tidak lama lagi.

“Pencapaian kelima adalah mempergiat usaha penyediaan fasiliti pendidikan, kesihatan dan sukan membabitkan pembinaan klinik kesihatan baharu; pembinaan dan naik taraf sekolah serta institusi pendidikan, selain Padang Hoki di Stadium Hoki Bandaraya Bukit Serindit.

“Pencapaian terakhir pula, memperhebat Kampung Digital DUN Duyong membabitkan 21 buah kampung atau 3,634 premis yang telah selesai menerima sepenuhnya alamat digital.

“Inisiatif ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat, khususnya penduduk di kawasan kampung, memperoleh akses yang lebih mudah dan pantas bagi pelbagai perkhidmatan termasuk urusan rasmi, penghantaran barangan dan lain-lain keperluan harian,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

724
Kongsi :
Previous post WRUR DUYONG PECAH REKOD, LEBIH 10,000 TERIMA MANFAAT SEPANJANG 14 HARI
Next post SENYUMAN RAKYAT BUKTI KEJAYAAN WRUR – KM