
FAIRUL NIZAM CAKNA ASPEK PENDIDIKAN ANAK ASAHAN
ASAHAN 17 Julai – Usaha memastikan murid tidak keciciran dalam pelajaran turut melibatkan inisiatif bantuan persekolahan kepada anak-anak sekolah rendah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Majlis Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Japerun Asahan Tahun 2025 melibatkan seramai 250 murid pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program tahunan itu melibatkan 17 buah sekolah rendah di DUN berkenaan dengan sokongan berterusan daripada YPM.
“Program ini dirancang setiap tahun dan akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan tiada pelajar tercicir dalam pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan majlis berkenaan di Auditorium Iltizam Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, di sini, hari ini.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut menitipkan pesanan kepada para murid agar terus berusaha dalam pelajaran, menjaga adab dan menghormati ibu bapa serta guru.
“Saya minta para ibu bapa agar terus memberikan sokongan moral, kasih sayang dan bimbingan kepada anak-anak kerana ia adalah asas kejayaan mereka.
“Sumbangan yang diberikan diharap mampu menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus cemerlang dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.