Sorting by

×

FARA ROSNINA HARUMKAN NAMA MELAKA DI KOREA SELATAN

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Strategi Fara Rosnina Sahabudin, 44, mengolah menu tempatan agar memiliki citarasa antarabangsa menjadi, apabila dia meraih tiga gangsa pada pertandingan masakan ‘2025 Dipo Induction Culinary Competition’ di Korea Selatan, Ahad lalu.

Ibu tunggal dari Taman Seri Pengkalan, Alor Gajah ini menghidangkan menu spageti aglio olio daging salai, nasi strawberi daging masak hitam, dan mi goreng mamak bagi tiga kategori berbeza.

Katanya, hidangan disediakan berjaya memikat hati juri yang tertarik dengan gabungan kepelbagaian rasa dan aroma masakan Melaka yang membuka selera.

Ibu kepada tiga anak berusia 16, 19 dan 22 tahun ini berkata, dia menyertai pertandingan itu selepas menerima tawaran daripada seorang cef tempatan.

“Kos penyertaan adalah menggunakan wang sendiri selain sumbangan ahli keluarga dan rakan terdekat, tetapi saya nekad untuk sertai pertandingan demi mengejar impian kerana mahu merasai pengalaman baharu dalam dunia kulinari.

“Saya pejam mata sahaja ketika bayar yuran pertandingan, jika tidak bila lagi akan merasa pengalaman bertanding di negara orang. Selain pengalaman baharu saya juga mendapat pendedahan mengenai perkakas terkini dalam dunia masakan, memang kagum apabila melihat set dapur berteknologi yang mereka gunakan, sangat mesra alam dan efisien,”katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp image 2025 05 15 at 1.53.55 pm
FARA Rosnina (empat dari kanan) bersama wakil dari Malaysia yang turut menyertai pertandingan itu.

Berkongsi kisahnya, Fara Rosnina berkata, dia mula aktif dalam bidang penyediaan masakan selepas menjadi pembantu perniagaan katering yang diusahakan oleh ibunya.

Selain itu Fara Rosnina, turut mengikuti kursus kulinari dengan menyambung pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Selangor pada tahun 2000 selepas tamat persekolahan.

Selepas menamatkan pengajian, dia kemudian mencari pengalaman dengan bekerja di Concorde Inn KLIA Sepang, sebelum kembali ke Melaka untuk membantu ibunya menjalankan perniagaan katering.

“Dorongan daripada ibu sebenarnya menjadi titik permulaan kepada penubuhan syarikat katering saya sendiri pada 2012. Walaupun sibuk menguruskan kerjaya dan membesarkan tiga anak secara bersendirian, saya tidak pernah mengabaikan minat dan kecintaan terhadap dunia masakan.

“Saya anggap pertandingan ini sebagai langkah pertama. Kalau ada sokongan atau penajaan, saya mahu sertai lebih banyak pertandingan antarabangsa selepas ini,” katanya.

2025 Dipo Induction Korea itu melibatkan penyertaan 700 peserta antarabangsa, selain Fara Rosnina, lima lagi wakil Malaysia termasuk dari Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) turut menyertai pertandingan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1337
Kongsi :
Previous post INISIATIF PARAKOM TARIK PERHATIAN DUNIA
Next post SK KRUBONG 2 SIAP TAHUN INI, LERAI DILEMA KEPADATAN PELAJAR