
FASA KEDUA JUALAN BERAS MELAKA PADA JULAI INI
JASIN 5 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka berjaya menjual sebanyak 4,000 kampit Beras Melaka dalam pengeluaran fasa pertama yang dilancarkan baru-baru ini.
Pengarah FAMA Negeri Melaka, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, untuk fasa kedua, jualan Beras Melaka pada harga RM26 sekampit 10 kilogram itu dijangka pada Julai, dengan sasaran bekalan lebih daripada 4,000 kampit akan dapat diagihkan untuk dijual ke seluruh negeri.
“Setakat ini bekalan Beras Melaka tidak menghadapi sebarang masalah. Pengeluaran beras ini bergantung kepada musim menuai padi di negeri ini.
“Fasa pertama telah selesai dan fasa kedua dijangka akan menyumbang bekalan yang sama, namun kita harap jumlah itu meningkat berbanding fasa pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Khas Semarak Aidiladha 1446H Peringkat Negeri Melaka @ Pasar Tani Jasin di sini, semalam.
Menurut beliau, setiap fasa pengeluaran lazimnya mengambil masa antara tiga ke empat bulan bergantung kepada musim dan hasil tuaian.
“FAMA juga merancang untuk memperluas jualan Beras Melaka ke outlet-outlet peruncitan milik FAMA di seluruh negeri dalam usaha memastikan akses mudah kepada pengguna tempatan.
“Bagaimanapun, perkara ini bergantung kepada keluasan kawasan penanaman padi dan hasil tuaian.
“Beras Melaka merupakan inisiatif dalam mengetengahkan hasil tempatan berkualiti tinggi, sekali gus menyokong pengusaha dan pesawah di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.