
FASILITI PENDIDIKAN DI SUNGAI UDANG DIPERKASA
SUNGAI UDANG 31 Mei – Kemudahan dan infrastruktur pendidikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang terus diberi keutamaan dengan pelaksanaan beberapa projek utama bagi memastikan keselesaan murid dan guru.
Projek-projek ini dikenal pasti dan digerakkan menerusi pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN itu yang membuka ruang kepada Kerajaan Negeri untuk meneliti keperluan pendidikan secara menyeluruh.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata pelbagai keperluan sekolah dan suara masyarakat telah dikenal pasti sepanjang pelaksanaan WRUR di kawasan itu, malah sebahagiannya telah mula dilaksanakan.
“Antara projek utama yang dilaksanakan ialah kerja naik taraf makmal komputer di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak melibatkan kos sebanyak RM400,000 yang dijangka siap pada Oktober 2025.
“Selain itu, proses perolehan tanah bagi pembinaan bangunan tambahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang sedang berjalan, dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Usaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga bersetuju mempertimbangkan pembinaan baharu Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Sungai Udang, sebagai projek penting untuk dilaksanakan tahun hadapan.
“Saya juga telah melawat SRA JAIM Bertam Ulu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu yang mana dua buah sekolah ini memerlukan baik pulih segera.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan mengangkat permohonan ini dan berusaha memastikan anak-anak DUN Sungai Udang belajar dalam persekitaran selesa dan kondusif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.