Sorting by

×

FASILITI TERBAIK UNTUK PEMBANGUNAN SUKAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 November – Kerajaan Negeri komited dalam memperkukuhkan pembangunan sukan di Melaka menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan menyediakan infrastruktur terbaik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan di peringkat elit tidak akan mantap tanpa pengukuhan akar umbi dan infrastruktur bertaraf dunia.

“Selaras dengan pembangunan menyeluruh, Kerajaan Negeri melalui peruntukan tahun 2025 sedang menggerakkan usaha-usaha penting demi memastikan Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) memiliki fasiliti terbaik.

“Antaranya melaksanakan pembinaan gelanggang lawn bowls MSNM di Krubong, membabitkan nilai RM1.5 juta dan diikuti naik taraf fasiliti sukan di bawah seliaan MSNM dengan peruntukan RM500,000 selain menaik taraf Dewan Badminton MSNM membabitkan peruntukan RM3.8 juta serta banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Bagi Tahun 2023/2024 yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sebuah hotel di Lorong Bendahara, hari ini.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri juga sentiasa melihat sukan sebagai sebuah platform besar yang lebih meluas selain sukan juga perlu seiring dengan semangat tradisi dan budaya agar dapat diperkukuhkan untuk diwariskan kepada generasi muda.

“Atas dasar itu, Melaka kini bergerak ke hadapan bagi memperkasakan sukan rakyat melalui sukan dam aji dan konda-kondi yang bukan sekadar permainan nostalgia tetapi perlu diteruskan kembali hingga ke seantero dunia.

“Melaka bertekad menjadi perintis memartabatkan sukan tradisional yang mempunyai nilai komersial, keunikan budaya dan potensi global yang tinggi,” katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan terus mengangkat martabat sukan Melaka dengan memperkasa kemajuan industri sukan melalui program-program pembangunan yang inklusif sejajar dengan hasrat menjadikan sektor sukan negeri ini terus gah di pentas dunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post AARON CHIA, CHEONG MIN DINOBAT OLAHRAGAWAN, OLAHRAGAWATI MELAKA
Next post KETUA MENTERI DIANGKAT SEBAGAI TOKOH LESTARI SUKAN NEGERI MELAKA