Sorting by

×

‘FAST LANE ALOR GAJAH’ JADIKAN MPAG LEBIH BERDAYA SAING

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

ALOR GAJAH 24 Oktober – Fast Lane Alor Gajah atau FLAG yang mempermudah dan memendekkan tempoh masa urusan pelabur antara inisiatif terbaharu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dalam usaha berterusan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke daerah itu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif FLAG sekali lagi membuktikan keupayaan dan daya saing MPAG.

Mengulas lanjut Rais berkata, inisiatif berimpak tinggi yang diperkenalkan oleh MPAG itu bertujuan memperkukuh kecekapan proses dan prosedur kelulusan pelan pemajuan.

“Inisiatif FLAG ini merupakan penambahbaikan kepada prosedur sedia ada di bawah program ‘Ease of Doing Business’ Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan matlamat untuk mempercepatkan proses kelulusan pembangunan melalui pendekatan yang lebih tangkas, cekap serta efisien.

“Melalui inisiatif FLAG MPAG, kelulusan pembangunan industri di bawah Industrial Green Lane (IGL) dapat diperoleh dalam tempoh hanya 29 hari, manakala permohonan lain melalui Prerequisite (PR) diselesaikan dalam tempoh 22 hari jauh lebih pantas berbanding kaedah biasa yang boleh mencecah sehingga 99 hari,” katanya.

6332579895707372315
TPr. Saifuddin (kanan) memberikan penerangan mengenai garis panduan ‘Fast Lane Alor Gajah’ (FLAG) kepada Rais pada majlis pelancaran ‘Fast Lane Alor Gajah’ (FLAG) pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Bulan Oktober 2025 di Dewan Seri Bougainvillea MPAG. Foto Afiq Mustaffa

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran MPAG Bagi Bulan Oktober 2025 Dan Majlis Pelancaran Fast Lane Alor Gajah (FLAG) di Dewan Bougainvilla, MPAG, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat; Ketua Whip Ahli Majlis MPAG, Ghaffar Ngah, ketua-ketua jabatan serta kakitangan MPAG.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, pelaksanaan FLAG MPAG membuktikan komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dalam mempercepatkan proses kelulusan pelaburan serta memperkukuh ekosistem perniagaan yang lebih cekap, mesra pelabur dan berdaya saing.

Katanya, langkah ini bukan sahaja menyokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur, malah memperlihatkan keupayaan MPAG sebagai PBT yang dinamik, progresif dan seiring dengan agenda pendigitalan perkhidmatan awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post KONVENSYEN KHAS PENDIDIKAN FOKUS BENTUK SAHSIAH PELAJAR – KM
Next post ‘HADIAH KHAS’ RM5,000 UNTUK SEKOLAH PALING CEMERLANG SPM