
FELDA BUKIT SENGGEH ‘BERGEGAR’
ASAHAN 29 Disember – Felda Bukit Senggeh, di sini, kembali bergegar apabila seramai 260 peminat sukan lasak berhimpun pada program Melaka Hard Enduro Vol 2 sempena Motocross Track Day Peringkat Negeri Melaka 2025, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penganjuran kali kedua selepas kejayaan edisi sulung pada 2020 yang lalu menyaksikan sambutan yang diterima cukup luar biasa.
Ujar beliau, ia secara tidak langsung membantu mempromosi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan sebagai antara destinasi pelancongan terbaik untuk acara sukan lasak.
“Motocross Track Day merupakan acara yang memberi peluang kepada para peserta untuk merasai pengalaman menunggang di litar motocross semulajadi, dari Ladang tersusun felda peserta disajikan dengan keindahan flora dan fauna asli Hutan Simpan Bukit Senggeh.
“Pada masa sama, sukan ini memerlukan ketahanan fizikal, kemahiran mengawal motosikal, serta strategi yang baik untuk mengatasi cabaran litar yang tidak rata dan rintangan semula jadi bagi mengatasi halangan seperti lonjakan tinggi, selekoh tajam, serta laluan berbukit.
“Program ini bukan sahaja mampu mencungkil bakat yang baharu tetapi juga boleh menjadi galakan kepada penggemar sukan motocross untuk terus aktif di samping mencari ruang dan peluang memartabatkan sukan ini di peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Belia dan Sukan Negeri Melaka Zailani Siran serta lain-lain kenamaan.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, melihat kepada sambutan dan kerjasama baik yang ditunjukkan, program tersebut bakal diangkat menjadi acara tahunan di DUN Asahan.
“Aspirasi sukan bermotor negara ialah untuk menjadi sebuah industri yang dapat memberi kesan positif kepada perkembangan sosial, ekonomi dan politik negara.
“Budaya sukan berasaskan sukan bermotor akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri sukan negara dan manfaat kepada sektor kejuruteraan automotif, pembuatan alat ganti dan komposit, pelancongan sukan bermotor dan lain-lain aktiviti yang memberi impak berganda,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

