
‘FENOMENA’ FAN BINGBING BERI IMPAK BESAR KEPADA PELANCONGAN MELAKA
AYER KEROH 3 Jun – Kerajaan Negeri menyampaikan Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada selebriti antarabangsa China yang juga Duta Setiakawan Pelancongan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) Fan Bingbing.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, impak pelantikan Fan Bingbing bagi mempromosikan TMM2024 diterjemahkan dengan peningkatan mendadak ketibaan pelancong terutamanya dari China apabila merekodkan seramai 664,687 pelawat pada Disember 2024 berbanding hanya 204,818 orang tahun sebelum.
Beliau berkata, sijil MBOR yang disampaikan itu adalah bagi Capaian Digital Terbesar bagi Pelancongan Malaysia di Platform WeChat Menggunakan Duta Selebriti.
“Impak ‘jenama’ Fan Bingbing meletakkan nama Melaka ‘mendunia’ sehingga negeri ini terpilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September depan.
“Disebabkan fenomena Fan Bingbing juga, Melaka telah terpilih sebagai destinasi pelancaran sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang diadakan sempena WTD 2025.
“Justeru itu, Melaka bersedia membuka pintu seluas-luasnya menyambut ketua-ketua kerajaan, duta, menteri-menteri pelancongan dunia serta pelancong dari seluruh dunia malah ini masanya kita membawa ‘dunia ke negeri Melaka’,” katanya Ketua Menteri menerusi Facebook rasmi beliau.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri optimis untuk menerima lebih ramai pelancong ke Melaka pada tahun ini apabila dua kapal persiaran mewah singgah di Melaka begitu juga dengan ketibaan penerbangan dari Singapura.
“Tahun lepas kita menerima lebih 15 juta pelancong maka tahun ini saya optimis untuk menerima lebih ramai ketibaan pelancong ke Melaka.
“Ini susulan dengan kemasukan kapal persiaran ‘Genting Dream Cruise’ dan ‘Star Voyager’ selain ketibaan pesawat Scoot Airlines dari Singapura yang merancakkan kembali operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM),” katanya.
Jelas beliau, dengan pelbagai pengisian dan promosi pelancongan berterusan, Melaka bersedia untuk terus ‘mendunia’ dengan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0 pada hujung tahun ini.
“Besarlah harapan saya dengan penglibatan semua pihak, penggiat pelancongan tempatan, ketua-ketua jabatan termasuk Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) serta Sekretariat World Tourism Melaka akan meletakkan Melaka di pentas dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.