Sorting by

×

FERRIS WHEEL TEPI SUNGAI MELAKA TARIKAN IKONIK BAHARU TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KOTA LAKSAMANA 31 Disember – Landskap pelancongan negeri terus diperkasakan dengan pembukaan rasmi Ferris Wheel baharu yang dijangka menjadi tarikan ikonik terbaharu di Melaka menjelang Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, produk baharu pelancongan negeri itu menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung untuk menikmati panorama Bandaraya Melaka pada tahun hadapan.

Katanya, PPSPM bersama pengurusan Ferris Wheel menyediakan pakej istimewa buat pengunjung yang menaiki bot Melaka River Cruise untuk ke lokasi terbabit pada kadar yang berbaloi bermula 1 Januari 2026.

“Ferris Wheel ini akan menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung untuk menikmati panorama bandar Melaka dari aras tinggi, merangkumi pemandangan Sungai Melaka, serta kawasan warisan dunia UNESCO berlatar bandar moden yang memukau, khususnya pada waktu senja dan malam.

“Ia sekali gus dapat merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6224243752302218355
FERRIS Wheel bakal menjadi tarikan ikonik baharu menerusi pakej Melaka River Cruise. Foto Afiq Mustaffa

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, tarikan baharu itu bukan sahaja menambah variasi produk pelancongan sedia ada, malah berperanan sebagai pemangkin kepada usaha merancakkan sektor pelancongan negeri.

“Pembukaan Ferris Wheel ini juga selari dengan strategi Kerajaan Negeri dalam memperkukuh industri pelancongan menjelang awal tahun hadapan dengan sasaran meningkatkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

“Inisiatif berkenaan diyakini mampu memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan serta mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai antara destinasi pelancongan utama negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

473
Kongsi :
Previous post MANGSA BANJIR DI SUNGAI RAMBAI KEKAL 36 ORANG
Next post SITI NURHALIZA, SEARCH WARNAI AMBANG TAHUN BAHARU 2026 MELAKA