
FESTIVAL HELLO KOMODITI SUNGAI RAMBAI BERLANGSUNG 3 HARI 3 MALAM
SUNGAI RAMBAI 4 Februari – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai sekali lagi menjadi tuan rumah bagi penganjuran Festival Hello Komoditi yang akan berlangsung pada April depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata, program anjuran bersama Kerajaan Negeri dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 sehingga 19 April 2026.
“Sudah pasti pelbagai program akan diadakan sepanjang tiga hari tiga malam festival ini berlangsung selain ia akan membabitkan agensi lain di bawah KPK yang akan mengadakan pameran membabitkan tanaman komoditi.
“Bertempat di Padang Seri Mendapat, konsep festival itu sama seperti Festival D’bendang tetapi tidak banyak membabitkan aktiviti air sebaliknya memfokuskan kepada apa yang ada di bawah KPK termasuk sukan.
“Selain itu, turut disediakan juga gerai jualan untuk usahawan bagi membantu mereka memasarkan produk dihasilkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, sempena festival itu juga akan berlangsung program Terlajak Raya DUN Sungai Rambai pada 19 April.
“Pada hari terakhir iaitu pada sebelah malam DUN Sungai Rambai akan mengadakan program Terlajak Raya atau rumah terbuka Aidilfitri dalam skala yang besar termasuk persembahan.
“Konsepnya kami akan menyediakan kupon makan kepada pengunjung yang datang dan mereka boleh tebus di gerai jualan makanan yang terdapat di tapak festival,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


