
FESTIVAL LAYANG-LAYANG ANTARABANGSA TAMBAH SERI WTD 2025
KLEBANG 28 September – Festival Layang-Layang Antarabangsa 2025 menjadi antara tarikan yang disajikan kepada orang ramai bersempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.
Festival yang diadakan bermula Jumaat hingga Ahad itu menampilkan pelbagai jenis layang-layang unik pelbagai bentuk dari dalam dan luar negara.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, festival itu bukan sahaja menampilkan pelayang tempatan dari Melaka, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Sarawak, Kuala Lumpur dan Johor, bahkan turut disertai pelayang luar negara iaitu dari China, Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Ukraine serta United Kingdom.
“Ini merupakan antara acara sampingan yang dibawakan sempena WTD 2025 dan mendapat sokongan Kerajaan Negeri.
“Kita gembira melihat sambutan hebat yang diterima sejak hari pertama pada Jumaat dan kita mempelawa untuk orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya pada hari terakhir, hari ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di tapak Festival Layang-Layang Antarabangsa 2025, di sini.
Menurut Allex, festival berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian menarik lain, antaranya pertandingan fotografi dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Selain itu, ujar beliau, turut diadakan Karnival Usahawan yang menghimpunkan usahawan mikro, kecil dan sederhana di negeri ini bagi mempromosikan produk masing-masing.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.