
FESTIVAL LAYANG-LAYANG LONJAK PELANCONGAN, PACU KEUSAHAWANAN
KLEBANG 28 September – Penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 bukan sekadar melonjakkan lagi sektor pelancongan Melaka, bahkan turut memacu landskap keusahawanan.
Ia memandangkan festival tersebut turut menggabungkan Karnival Usahawan Negeri Melaka yang menghimpunkan seramai 50 usahawan mikro, kecil dan sederhana.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, idea kreatif menggabungkan dua elemen penting, iaitu seni warisan dan pemerkasaan ekonomi dalam satu pentas wajar diberi pujian.
Jelas beliau, langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan dalam memacu agenda pelancongan dan keusahawanan negeri agar terus segar, dinamik dan berdaya saing.
“Justeru, dengan penyatuan akar budaya yang bergerak seiring aspirasi global, festival ini tampil sebagai landasan strategik, bukan sahaja mengekalkan keindahan warisan, bahkan turut merangsang inovasi pelayang tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Layang-Layang Antarabangsa dan Karnival Keusahawanan Negeri Melaka di Encore Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, Festival Layang-Layang Antarabangsa edisi ke-16 itu telah disertai lebih 120 pelayang, melibatkan peserta dari seluruh Malaysia dan delegasi luar negara seperti Singapura, Vietnam, Ukraine, Perancis, Thailand, serta pelbagai wilayah dari China seperti Macau, Nanjing dan Guang Dong.
Pada masa yang sama, ujar beliau, festival itu turut menampilkan lebih 100 layang-layang pelbagai ikon menghiasi ruang udara Melaka, sekali gus mencerminkan bahawa seni layang-layang masih relevan dan berupaya menjadi jambatan penghubung budaya serta persahabatan merentasi sempadan.
“Lebih istimewa, kita dapat menyaksikan layang-layang bendera terbesar di Malaysia
berukuran 10 x 20 meter yang diterbangkan oleh Team Impian dari Negeri Melaka, sebagai lambang kebanggaan dan semangat kebersamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.